Halaman

Jumaat, 5 Mac 2010

BERITA SILAT-PESAKA GUSAR CUACA PANAS

LAIN yang diharapkan, lain pula jadinya. Itulah terpaksa ditelan Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) selepas Persekutuan Silat Antarabangsa memilih Kalimantan Utara, Indonesia sebagai tuan rumah Kejohanan Silat Dunia yang berlangsung dari 25 hingga 31 Julai depan.


Bukan soal lokasi pertandingan tapi yang merisaukan Pesaka ialah faktor cuaca kerana dikhabarkan pada ketika itu, wilayah terletak bersebelahan Sarawak berada pada suhu panas.

Bahkan sebelum ini, Pesaka lebih mengharapkan Singapura menjadi tuan rumah, namun keputusan dibuat badan induk silat dunia itu terpaksa diterima walaupun pada hakikatnya ia terlalu sukar diterima.

“Bagi kami, kalau ditanya siapa lebih selesa menjadi tuan rumah, sudah tentu kami pilih Singapura. Tapi, apabila keputusan dibuat Persekutuan Silat Antarabangsa, kami terpaksalah terima saja.

“Memang diakui pesilat mungkin berdepan kesukaran terutamanya cuaca panas. Seperti diketahui, pada ketika itu, pesilat kami terpaksa melalui cabaran ‘tambahan’.

“Dan apabila kami menyedari keadaan seperti itu, Pesaka terpaksa membuat sedikit perubahan dari segi corak latihan bagi membolehkan pesilat menyesuaikan diri dengan keadaan yang bakal dilalui,” kata penyelaras Pesaka, Osman Nok.

Pengumuman itu menamatkan desas-desus siapa bakal menjadi tuan rumah walaupun perubahan tarikh sudah diketahui sebelum ini.

Jika sebelum ini, Singapura turut berminat menganjur kejohanan, namun permohonan mereka ditolak sebalik diberi hak kepada Ikatan Pencak Silat Indonesia (IPSI) untuk menganjurkan kejohanan itu.

Osman berkata, Pesaka bakal menghantar 30 pesilat elit dan pelapis selain menyerapkan beberapa pesilat senior dalam kategori yang dipertandingkan.

“Memandangkan semua pesilat sudah ada kategori masing-masing, kami terpaksa memilih beberapa pesilat senior terutamanya dalam acara terbuka. Beberapa nama mungkin kita senarai termasuk bekas jaguh dunia, Mohd Azrin (Abd Malek),” katanya.

Kejohanan ini adalah detik pertarungan pertama jika tidak diambil kira kejohanan Terbuka Belgium bulan depan selepas kali terakhir beraksi di Sukan Sea Laos hujung tahun lalu.

Kejayaan meraih empat pingat emas menerusi Mohd Hafiz Mahari (putera kelas A), Mohd Fauzi Khalid (putera kelas F), Faizal Abdullah (putera kelas H) dan Emy Latip (puteri kelas C) membuka lembaran baru buat sukan mempertahankan diri itu selepas sekadar mengutip satu perak di Sukan Sea Korat.

Tiada ulasan: